MELBOURNE: Kem skuasy negara terus mengibarkan cabaran di Kejuaraan Dunia Remaja apabila menempah slot di peringkat separuh akhir esok.
Pemain wanita, Aira Azman melepasi halangan suku akhir di Melbourne Sports and Aquatic Centres (MSAC) apabila menentang Lauren Baltayan dari Perancis.
Pemain berusia 18 tahun itu tampak berada dalam prestasi terbaiknya menerusi keputusan straight set 3-0.
“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini menentang wakil Perancis itu. Dari segi permainan agak stabil, Esok pertembungan yang agak sukar, jadi saya harap dapat beraksi dengan permainan terbaik,” kata Aira selepas perlawanan di Melbourne.
Aira merakam kemenangan pembakar semangat 11-4 di permainan pembukaan.
Baltayan cuba memberikan tentangan lebih baik di set kedua namun terpaksa akur dengan kekalahan sengit 9-11 selepas itu.
Perlawanan penentuan berikutnya juga berjaya ditangani sebaiknya pemain negara itu yang mencatat 11-6, sekaligus layak ke separuh akhir esok
Lawan menantinya ialah Fayrouz Abouelkheir dari Mesir yang pernah ditemuinya pada Piala Dunia di India bulan lalu, menyaksikan kecundang 1-3.