Tumpuan :
Sukan

SKUASY: Aifa pulih daripada kecederaan, Syafiq Kamal azam naik podium

Aifa Azman (kanan) sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki dan bersedia bersama-sama Syafiq Kamal memburu kejayaan beregu campuran skuasy di Hangzhou bulan depan.

BUKIT JALIL: Pasukan skuasy negara antara yang disandarkan memenangi emas daripada kesemua lima yang dipertandingkan di Sukan Asia 2022 di Hangzhou diyakini berada di landasan terbaik.

Ini selepas Aifa Azman pulih daripada kecederaan, untuk membantu persaingan kategori berpasukan dan juga beregu campuran sekaligus memaksimumkan kekuatan barisan skuad wanita.

Aifa mengalami kecederaan tumit pada bulan Jun, namun tetap mengambil bahagian di kejohanan beregu campuran di China menyaksikannya membawa pulang pingat gangsa bersama gandingannya Mohammad Syafiq Mohd Kamal.

Selepas dinasihat mengikuti sesi pemulihan hampir dua minggu, beliau yang memiliki ranking tertinggi di kalangan pemain wanita negara iaitu ke-29 dunia sudah bersedia untuk kembali ke gelanggang pertandingan.

Pemain yang membawa cabaran negara dalam kategori beregu campuran bersama Syafiq dan berpasukan wanita di Sukan Asia bulan depan terlebih dahulu membuat penampilan di Terbuka Paris bermula 27 ogos ini.

“Semuanya baik 100% sekarang, saya perlu kekalkan proses pemulihan, dapatkan semula kekuatan tumit dan juga sekarang juga dah berlatih penuh, harapannya saya mampu beraksi di Paris.” kata Aifa selepas sesi latihan hari ini.

Gandingannya Syafiq turut yakin Aifa mampu mendapatkan keadaan terbaik buat dirinya sebelum bertanding di Sukan Asia.

Cuma mereka harus berwaspada dan mencari jalan menghadapi ancaram terbesar India dalam beregu campuran nanti selain Hong Kong.

“Sejak bulan lepas saya rasa kita banyak buat beregu campuran punya acara, saya percaya saya dan Aifa boleh kuat disana, dan cuma sekarang kita berbalik kepada perseorangan sikit sebab dah banyak buat beregu sekarang perlu seimbangkan perseorangan dan beregu untuk kedua-dua disana nantilah,” jawab Mohammad Syafiq di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Baki enam lagi pemain iaitu Ivan Yuen, Ng Eain Yow, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, S. Sivasangari, Rachel Arnold dan Aira azman yang terpilih ke Hangzhou nanti juga sibuk mempersiapkan diri dan sedang menyertai saingan antarabangsa di Australia, China dan Negeri Sembilan selain Paris sehingga awal September ini.

Pada edisi 2018 di Indonesia, Syafiq bersama-sama Eain Yow dan Ivan menaiki podium emas berpasukan lelaki dibantu senior Mohd Nafiizwan Adnan yang turut memenangi gangsa acara perseorangan.

Datuk Nicol Ann David pula menjadi tunjang skuad wanita dengan menjuarai perseorangan menewaskan Sivasangari di perlawanan akhir, sebelum kedua-duanya bersama Low Wee Wern dan Aifa membawa pulang pingat gangsa berpasukan.

Loading...
Terkini