Oleh Al Shaiful Nazib Talib
BUKIT JALIL – Pemilihan skuad hoki remaja kebangsaan untuk membarisi pasukan negara di temasya Sukan Sea Kemboja 2023 dilihat cukup tepat.
Manakan tidak, walaupun turut membawa misi penting untuk meneruskan dominasi pingat emas Malaysia, saingan di Kemboja nanti turut dijadikan sebagai pentas bagi persiapan pasukan untuk ke saingan hoki Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung hujung tahun ini.
Bagi ketua jurulatih, Muhd Amin Rahim, ini peluang yang cukup baik buat pasukannya mendapat lebih banyak minit permainan kompetitif disamping membantu menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara.
“Setiap perlawanan, setiap kejohanan tu ada dia punya cabaran yang tersendiri, saya nampak.
“Cabaran yang kita ambil untuk kali ini salah satu benda yang untuk mematangkan pasukanlah sebab saya tengok untuk kali ini kita hantar pasukan remaja, dan kita pun dalam rangka persiapan untuk ke Piala Dunia Remaja hujung tahun ni.
“Saya rasa ini cabaran yang baik untuk pemain-pemain sahut cabaran ini dan kita akan cuba buktikan yang kita mampu juga untuk dapatkan pingat emas untuk Malaysia,” kata Amin pada sesi latihan pasukan.
Dalam perancangan menuju ke Sukan Sea Kemboja, seramai 39 pemain dipilih untuk menyertai kem latihan yang bermula pada 27 Mac yang lalu.
Skuad remaja negara kemudiannya akan ke Australia untuk mengikuti Siri Jelajah di Perth sebelum mengambil bahagian di Kemboja nanti.
Dalam pada itu, ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali turut teruja ketika meninjau sesi latihan pasukan di Bukit Jalil.
Memang tidak dinafikan, sukan hoki adalah antara lubuk emas Malaysia pada setiap temasya Sukan Sea diadakan.
“Kita punya persiapan saya lihat cukup intensif, sebab lagi sebulan saja, kita sudah tidak ada masa untuk berlengah-lengah atau hanya latihan ringan sebab jangka masa waktu berjalan dengan cepat.
“Dari segi kedudukannya saya difahamkan kita mempunyai peluang untuk mendapatkan pingat emas untuk lelaki dan juga untuk wanita.
“Disebabkan dua tahun hoki tidak dipertandingkan, tahun ini ada, jadi sepatutnya dengan pengalaman dan pertandingan yang telah mereka sertai mereka sepatutnya sudah sedia.
“Saya juga difahamkan ada 4 pemain senior yang akan turut disenaraikan dalam pasukan ini, dan ada juga empat pemain remaja ini yang sebenarnya sebahagian daripada pasukan senior,” kata Datuk Nasir.
Kali terakhir acara hoki padang dipertandingkan adalah pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dengan Malaysia gah merangkulnpingat emas.
Pemilihan skuad remaja untuk ke Sukan Sea juga bukan kali pertama dilakukan bagi sukan hoki ini.
2015 di Singapura, Malaysia turut dibarisi skuad remaja dan mereka turut berjaya membawa pulang pingat emas selepas pertarungan sengit sehingga ke penentuan ‘shootout’ menentang pasukan tuan rumah.