KUALA LUMPUR: Pasukan sepak takraw negara mengotakan janji untuk melangkah ke perlawanan akhir acara beregu Piala Dunia ISTAF 2024.
Barisan bimbingan Ahmad Jais Baharun itu mengecewakan Myanmar dalam aksi menarik yang berkesudahan 2-0.
Zin Min Oo dan Shein Wunna Zaw berjaya memberikan tentangan hebat kepada Aidil Aiman Azwawi dan Mohd Noraizat Mohd Nordin.
Mereka mengekori rapat mata dari awal set pertama hinggalah terpaksa akur dengan kekalahan 10-15.
Aidil dan Noraizat kemudian mengharungi set kedua yang sengit apabila Myanmar terus memberikan tekanan mahu membuat kebangkitan.
Ketika perlawanan seakan diheret ke aksi penentuan, Malaysia memperoleh mata penting kemenangan 17-16.
Kejayaan itu disambut sorakan padu ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Titiwangsa bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Skuad negara dijadual membuat perhitungan gelaran juara jam 8 malam esok dengan Thailand yang menumpaskan Indonesia 2-0 di satu lagi pertemuan separuh akhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.