comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad Piala Thomas tanpa Tze Yong

FOTO: Ihsan BAM

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki, Ng Tze Yong digugurkan daripada skuad Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei ini kerana pemain itu masih belum cergas sepenuhnya susulan kecederaan belakang dialaminya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Jelas Rexy, pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian akan menggantikan tempat pemain yang menduduki ranking ke-18 dunia itu.

“Selepas perbincangan dengan barisan jurulatih dan pengurusan, kita putuskan untuk menggugurkan Tze Yong. Keadaannya tidak memungkinkan dia boleh bermain.

“Jadi, kita memilih Hon Jian untuk menggantikan tempatnya kerana berdasarkan perbincangan dengan barisan jurulatih beregu dan perseorangan, kita melihat ada keperluan untuk kita menambah pemain beregu.

“Kita melihat beberapa kemungkinan yang pasukan perlukan untuk saingan Piala Thomas kali ini.

Sekarang ini kita ada empat pemain perseorangan dan enam beregu,” kata Rexy ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, yang sekali gus menutup peluangnya untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas ketiadaan Tze Yong, skuad negara kini hanya mempunyai empat perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu akan diperkuatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Hon Jian.

Pada saingan di Chengdu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini