Tumpuan :
Sukan

Skuad hoki uji taring di Australia

Skuad hoki negara tak boleh ambil mudah cabaran di Kemboja – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Walaupun sedar tahap Malaysia lebih tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain di Sukan Sea Kemboja Mei depan, namun pengendali negara, Amin Rahim mengakui mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan pencabar lain dan mahu memantapkan lagi pasukan dengan berlatih di Australia minggu depan.

Menurut Amin, sebelum ini ada negara yang beraksi di Sukan Sea ingin mengadakan aksi persahabatan namun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menolak dan memilih untuk berdepan kelab di Australia.

“Memang ada Thailand dan Indonesia meminta mengadakan aksi persahabatan, namun MHC memilih untuk tidak bertemu dengan mana-mana negara yang beraksi di Sukan Sea, jadi kita hanya akan mempersiapkan diri dengan menentang skuad senior serta kelab Australia,” katanya.

 

Ujar Amin, kunjungan ke Australia minggu depan memang sangat penting, walaupun ia sekadar persediaan dan latihan untuk Sukan Sea serta Piala Asia Remaja di Oman.

“Memandangkan mereka sedang melangsungkan saingan liga di sana, jadi kita memilih untuk bertemu dengan kelab di sana kerana pemain kebangsaan mereka akan kembali ke pangkuan masing-masing.

“Jadi kita akan berdepan dengan pemain senior kerana sebelum ini ketika kita pergi ke sana kita hanya berentap dengan pemain remaja. Saya mahu melihat intensiti permainan, jadi keputusan tidak diambil kira.

“Walaupun hanya pasukan kelab tapi jika ada dua atau tiga pemain kebangsaan Australia ia tetap dianggap sebagai standard tinggi. Apa yang saya mahukan kualiti, tempo, intensiti dan kelajuan agar anak buah saya dapat membiasakan diri dengan semua itu,” katanya.

Ditanya mengenai pencabar di Kemboja, Amin yang juga bekas pemain kebangsaan, mengakui mereka harus menghormati setiap pasukan lawan di sana.

“Walaupun hormat tapi tidak bermakna kami menarik ‘gear’ ke belakang. Kami tetap yakin dengan kemampuan pasukan dalam masa sama tidak mahu hilang fokus kerana sebelum ini di Sukan Sea Singapura 2015 aksi diheret sehingga ke penentuan penalti shootout ketika menentang pasukan tuan rumah,” katanya.

Loading...
Terkini