Tumpuan :
Sukan

Skuad Hoki Remaja Kebangsaan Tewas Lagi

| Oleh Fariz Zolkarnain

JOHOR BAHRU : Hasrat skuad hoki remaja kebangsaan untuk melakar kemenangan pada aksi kedua Piala Sultan Johor tidak kesampaian apabila tewas dengan jaringan besar 0-8 kepada Australia.

Sekalipun berjaya mengimbangi permainan pada suku pertama, gawang skuad remaja kebangsaan akhirnya bolos pada suku kedua menerusi jaringan padang Liam Hart minit ke-19.

Bersambung suku ketiga, Australia menambah dua lagi gol melalui pukulan sudut penalti Jake Lambeth dan Cooper Burns minit ke-36 dan 44.

Australia tampil lebih garang pada suku keempat dan hasilnya lima lagi gol berjaya dijelmakan kali ini menerusi tiga gol padang Hart, Jack Holland dan Brodee Foster (minit ke-47, 49 dan 59) serta dua gol sudut penalti Burns yang melengkapkan hatrik (minit ke-55 dan 58).

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas mencatat kekalahan kedua berturut-turut di Stadium Hoki Taman Daya.

“Kami melakukan banyak kesilapan terutamanya dalam pertahanan pada suku ketiga dan keempat. Kelemahan kami dapat dilihat dari segi fizikal dan ia menyukarkan kami untuk mengekalkan prestasi sepanjang 60 minit permainan.

“Saya harap pemain akan bangkit dan tidak berasa terlalu kecewa atau malu kerana dalam masa yang singkat kami telah berjaya menghasilkan permainan hoki yang bagus terutama pada separuh masa pertama,” jelas Muhammad Amin yang menyenaraikan sebilangan besar pemain yang kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.

Skuad hoki remaja kebangsaan akan meneruskan aksi ketiga menentang Afrika Selatan, Selasa ini.

Loading...
Terkini