Tumpuan :
Sukan

Skuad hoki remaja berpesta gol

FOTO: AHF

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja negara memulakan kempen Piala Remaja Asia dengan cemerlang, apabila membelasah pasukan Uzbekistan 8-1 dalam aksi pertama Kumpulan B.

Pada aksi yang berlangsung di Kompleks Belia Kebudayaan dan Hiburan Sultan Qaboos, Oman, skuad negara memulakan pesta gol seawal minit ketujuh menerusi T Perabu, yang menyempurnakan peluang menerusi pukulan sudut penalti.

Perabu kemudiannya terus cemerlang apabila berjaya merobek gawang gol Kazakhstan selang dua minit kemudian, untuk menggandakan kedudukan buat kem Malaysia apabila sekali lagi meledak menerusi pukulan sudut penalti sebelum Alfarico Liau terus menambah derita Uzbekistan apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke 12.

FOTO: AHF

Perabu melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini pada suku kedua permainan apabila sekali lagi meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke 18.

Barisan anak buah Amin Abdul Rahim semakin selesa apabila Shahmie Irfan Suhaimi dan Che Nur Aqilrullah meledak gol hanya selang seminit untuk kedudukan menjadi 6-0.

FOTO: AHF

Malaysia terus garang di babak keempat apabila Mughni Kamal meledak gol ketujuh negara pada minit ke 43 sebelum Adam Ashraf melengkapkan hari gemilang negara dengan gol kelapan.

Uzbekistan akhirnya memperoleh gol sagu hati lima minit sebelum perlawanan ditamatkan apabila Shavkatjin Kakhramonov meledak menerusi gol padang.

FOTO: AHF

Namun kebangkitan itu tetap gagal untuk menghalang Malaysia meraih kemenangan pertama untuk saingan ini.

Selepas ini, Malaysia bakal berdepan dengan Bangladesh pada Khamis untuk perlawanan kedua peringkat Kumpulan B.

Loading...
Terkini