KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki menamatkan saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia dengan nada mengecewakan selepas tewas 3-0 di tangan Iran, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengakhiri saingan peringkat kumpulan tanpa sebarang kemenangan selepas turut tewas kepada Argentina dan Jerman sebelum ini.
Pada perlawanan di Pusat Sukan Zatika, Iran membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi Sayed Mohammad Ghoreishiroud Baraki.
Mohsen Bohloui menambah derita Malaysia pada minit ke-30 sebelum Sajjad Mamizadeh memuktamadkan kemenangan selang enam minit kemudian untuk muncul naib juara kumpulan di belakang Jerman.
Rodzhanizam berkata, anak buahnya sudah menunjukkan semangat juang tinggi selain mempamerkan corak permainan yang lebih tersusun.
“Sekali lagi kami kalah tetapi secara keseluruhan, prestasi pemain dan pasukan begitu baik sekali,” kata Rodzhanizam.
“Pemain mengikut perancangan dilakukan dan saya dapat lihat mereka memberikan yang terbaik.
“(Mengikut) perancangan yang kami buat, berdisiplin di setiap babak perlawanan. Itu yang saya lihat yang diberikan setiap pemain.
“Beberapa kesilapan kecil yang dilakukan sebelum ini juga berjaya dikurangkan dan kami dapat lihat permainan yang baik ditunjukkan.
“Kami dapat peluang jaringkan gol tetapi tidak diambil. Sekiranya ini diperbaiki pemain apabila memperoleh peluang jaringkan gol, inilah yang perlu mereka lakukan.”
Selepas ini Malaysia akan menyertai pusingan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12 dan bagi Rodzhanizam, pasukan akan meneruskan perjuangan dan melakukan persiapan terbaik bagi mengharunginya.
“Kami akan lakukan perancangan sebaiknya untuk persiapan perlawanan kesembilan hingga ke-12. Berdasarkan apa yang ditunjukkan pasukan, saya rasa pemain boleh lagi memberikan fokus hingga ke perlawanan terakhir.
“Kami mahukan yang terbaik daripada setiap pemain,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.