DOHA: Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon selamat tiba di Doha, Qatar petang ini untuk mengharungi cabaran Piala Asia 2023.
Diundi dalam Kumpulan E, Malaysia memulakan saingan menentang Jordan, 16 Januari ini.
Perlawanan yang amat penting buat Harimau Malaya untuk melonjakkan moral sebelum berdepan Bahrain, empat hari kemudian.
Lawan terakhir Malaysia dalam Kumpulan E lebih getir, bertemu pasukan ranking ke-28 dunia, Korea Selatan. pada 25 Januari.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia menyasarkan untuk melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik buat julung kali selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.
Sebagai pemanas badan, anak buah Pan Gon akan berdepan Syira pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Doha, 8 Jan ini.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.
Malaysia dijadual menjalani latihan pertama di Doha malam ini.