Tumpuan :
Sukan

Skuad boling wanita negara muncul naib juara Piala Dunia

Pasukan wanita meraih perak di kejohanan Piala Dunia Boling IBF di Hong Kong. FOTO: ABF

KUALA LUMPUR: Kejayaan berganda diburu skuad boling negara tidak kesampaian apabila pasukan wanita terpaksa berpuas hati menamatkan kejohanan Piala Dunia Boling IBF (Persekutuan Boling Dunia) di Kowloon, Hong Kong sebagai naib juara, hari ini.

Pada perlawanan final, Malaysia yang dibarisi empat pemain termasuk juara dalam kategori individu wanita, Natasha Roslan, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim tewas 2-3 kepada Amerika Syarikat (AS).

Skuad negara yang memulakan permainan di lane kiri membuka permainan dengan langkah kiri apabila tewas set pertama dengan keputusan 195-214 jatuhan pin.

Begitupun, situasi kembali seimbang apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dengan keputusan 222-211 sebelum AS menang set ketiga 176-198.

Malaysia kembali menyamakan kedudukan 2-2 menerusi kemenangan 220-210 pada set keempat.

Dan sekali pun pada satu ketika skuad negara tampak berupaya menang, apa yang diharapkan pada set penentuan tidak menjadi kenyataan menerusi beberapa siri kesilapan termasuk balingan kelapan Gillian yang menyaksikan tiada spare dapat dilakukan sebelum tewas 180-212.

Skuad wanita negara sebelum itu mara ke final selepas menewaskan Macau di separuh akhir manakala AS mengalahkan negara jiran, Singapura.

Malaysia sebelum ini mencipta kejayaan menerusi acara berpasukan lelaki yang mencipta sejarah dengan menjuarai Piala Dunia Boling IBF.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini