KUALA LUMPUR: Skuad boling negara menerima insentif khas keseluruhan berjumlah RM90,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atas pencapaian cemerlang di Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong, awal bulan ini.
MSN dalam satu kenyataan memaklumkan, Natasha Roslan yang muncul juara acara individu wanita menerima RM20,000, manakala Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan yang memenangi gelaran juara acara berpasukan lelaki menerima RM40,000.
Selain itu, Rafiq yang turut meraih gelaran naib juara acara individu lelaki menerima RM10,000, manakala pasukan wanita dibarisi Natasha, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim yang turut bergelar naib juara acara berpasukan wanita menerima RM20,000.
“Insentif ini adalah pengiktirafan kepada pencapaian atlet-atlet negara, biarpun Piala Dunia IBF pada awalnya tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM),” kata kenyataan itu.
Insentif khas itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini.
Natasha muncul atlet wanita pertama negara bergelar juara di Piala Dunia IBF sekali gus menamatkan kemarau selama 53 tahun.
Pencapaian itu melengkapkan koleksi kejuaraan Natasha yang sebelum ini pernah muncul juara individu wanita di Kejohanan Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan juara berpasukan dunia pada kejohanan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada tahun 2017.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.