Tumpuan :
Sukan

Skuad bola sepak negara buka kempen Kejuaraan Asia 7s dengan bergaya, benam naib juara lalu

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

SHAH ALAM: Hari pertama saingan bola sepak Kejuaraan Asia 7 Sebelah (7s) menyaksikan tuan rumah Malaysia membuka kempen dengan mantap apabila membenam naib juara edisi lalu, India.

Skuad negara yang menyertainya buat kali pertama membariskan gabungan bekas pemain kebangsaan dan pemain futsal, antaranya Indra Putra Mahyuddin, Manaf Mamat, Mohd Amer Saidin, Mohd Razman Roslan dan Mohd Fandi Othman.

Meeka cepat menyesuaikan permainan di EV Arena, Elmina seterusnya merakam kemenangan besar 5-1.

Amer, Indra, A. Kisshaen dan Fandi memastikan anak buah Sulaiman Hussin itu di landasan tepat untuk memenangi permainan menerusi kedudukan 4-1 masa penuh.

Babak tambahan pencarian gol kemenangan menampilkan Kisshaen sebagai wira dengan gol terakhir sekaligus melenyapkan cabaran lawan.

Lawan menanti Malaysia di kumpulan B berikutnya ialah Filipina dan Hong Kong.

Perlawanan dimainkan menerusi masa 20 minit di babak pertama dan kedua dalam padang yang lebih kecil daripada saiz standard.

Permainan akan diheret ke masa tambahan selepas itu dengan pasukan yang mendahului diwajibkan menambah satu gol untuk melengkapkan perlawanan, sementara yang ketinggalan pula perlu memintas jaringan untuk bergelar pemenang.

Tambah menarik, di masa tambahan tersebut juga menyaksikan pasukan akan dikurangkan seorang pemain setiap tiga minit berselang sepanjang pencarian gol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini