HANGZHOU: Skuad badminton memulakan cabaran Kontinjen Para Malaysia pada Sukan Para Asia Hangzhou hari ini.
Paling awal turun gelanggang di Gimnasium Binjiang, Muhammad Fareez Anuar memulakan aksi kumpulan F kategori SU5.
Cuma 33 minit diperlukan Fareez mencatat kemenangan 21-12, 21-16 ke atas lawan dari Singapura, Wei Ming Tay.
Mengakui banyak melakukan kesilapan, Muhammad Fareez bagaimanapun berjaya menampilkan permainan lebih kemas pada set kedua biarpun lawan turut mendapat rentak.
Menyusul kemudian, Mohd Amin Burhanuddin yang beraksi dalam Kumpulan B kategori SL4.
Mohd Amin nyata berada dalam kelas tersendiri mudah mengatasi pemain tuan rumah, Gao Yuyang dengan kemenangan 21-13, 21-10.
Keputusan lain, Kategori SU5 Kumpulan H, Mohamad Faris Ahmad Azri mengalahkan pemain Vietnam, Hai Bui Minh 21-7, 21-15.
Manakala Noor Azwan Noorlan yang membuka tirai Kumpulan E, kategori WH2, juga mudah menundukkan Abu Hubaida dari India 21-12, 21-8.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati iaitu pusingan 16 terakhir.