Tumpuan :
Sukan

Skuad B-19 negara perlu fokus hadapi Korea Utara

Aksi skuad negara ketika menang menentang Oman sebelum ini. – FOTO: AFC

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara perlu melupakan kejayaan manis menewaskan Oman 2-1 dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan, kelmarin.

Ia kerana anak buah Juan Torres Garrido kini harus memberi fokus sepenuhnya untuk aksi kedua Kumpulan E menentang Korea Utara di gelanggang sama, malam ini.

Aksi itu menjadi perlawanan penting buat skuad Harimau Malaya B-19 dalam usaha memburu tiket ke pusingan akhir kejohanan yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari tahun depan di China.

Hanya juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik daripada 10 kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China.

Justeru, barisan pemain muda negara perlu mengekalkan momentum cemerlang untuk muncul juara Kumpulan E atau sekurang-kurangnya menamatkan kempen kelayakan dalam kelompok lima naib juara terbaik kumpulan.

Seandainya berjaya mengatasi Korea Utara, ia bakal membuka peluang lebih baik buat skuad negara dengan dua lagi aksi perlu diharungi selepas itu.

Apa yang positifnya, anak buah Garrido membawa motivasi terbaik selepas kejayaan mengejutkan Oman yang menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan E.

Namun, harus diingat bahawa Korea Utara juga berada dalam ‘mood’ yang baik selepas mereka meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Sri Lanka untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.

Pengurus pasukan B-19, Datuk Mohd Joehari Ayub menjelaskan, skuad Garrido sedang melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Korea Utara yang dianggap antara aksi sukar dalam Kumpulan E.

“Ketika menentang Oman, taktikal yang direncanakan jurulatih berhasil dan perkara sama dilakukan untuk aksi berdepan Korea Utara yang mana pasukan berusaha menerapkan corak permainan terbaik.

“Kami juga ingatkan pemain bahawa mereka tidak boleh terlalu terbuai dengan kemenangan ke atas Oman kerana kami masih ada perlawanan penting dan ini juga kumpulan yang sukar,” katanya.

Harimau Malaya B-19 wajib meraih mata penting berdepan Korea Utara dengan mereka bakal mengharungi aksi sukar menentang tuan rumah, Tajikistan, Jumaat ini sebelum aksi terakhir melawan Sri Lanka, dua hari kemudian.

Skuad negara gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan itu di Uzbekistan, tahun lalu apabila menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga Kumpulan E.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pusingan akhir kejohanan itu adalah pada edisi 2018, namun terkandas seawal peringkat Kumpulan D.

Jadual Kelayakan Piala Asia B-20 2025 hari ini:

Kumpulan E
Korea Utara mln Malaysia, Stadium Republican Central, 8 mlm
Sri Lanka mln Tajikistan, Stadium Republican Central, 11 mlm

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini