Tumpuan :
Sukan

Skuad B-19 Benam Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara menghidupkan peluang untuk meraih tiket ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan apabila menundukkan Sri Lanka 3-0 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Hassan Sazali Waras mengumpul empat mata dan perlu mengalahkan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E, Ahad ini untuk meraih slot automatik ke kejohanan itu.

Sekiranya gagal mengalahkan Korea Selatan, skuad negara perlu mengharapkan nasib mereka berada dalam kelompok lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan untuk merebut tiket ke Uzbekistan.

Korea Selatan yang meraih kemenangan besar buat kali kedua dengan membelasah tuan rumah, Mongolia 7-0 tengah hari tadi kini memimpin kumpulan selepas mengumpul enam mata.

Dalam aksi berdepan Sri Lanka, anak buah Hassan terpaksa menunggu hingga minit ke-30 untuk berada di depan hasil penyudah Aliff Izwan Yuslan yang menyudahkan hantaran Adam Farhan.

Sri Lanka yang dibelasah 6-0 oleh Korea Selatan dalam aksi pertama sebelum ini terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Navod Lakshitha dilayangkan kad merah pada minit ke-53 selepas menerima kad kuning kedua.

Kesempatan itu berjaya dimanfaatkan skuad negara dengan Adam menambah gol kedua pada minit ke-70, sebelum Aliff mengesahkan kemenangan dengan meledak gol ketiga pada masa kecederaan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini