
KUALA LUMPUR: Skuad remaja kebangsaan memulakan kempen kejohanan bola sepak Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) dengan langkah kiri apabila tewas 0-4 kepada Yaman hari ini.
Pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Thammasat, Bangkok itu, Malaysia ketinggalan seawal minit ke-21 menerusi jaringan Abdulrahman Al Khader Abdulnabi.
Selang 10 minit kemudian dan hasil jaringan oleh Adel Abbas Qasem, kedudukan berubah kepada dua kosong memihak Yaman.
Babak kedua perlawanan, Yaman tidak menunggu lama untuk memburu gol selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Anwar Hussein Abdullah Al Turaiqi pada minit ke-48.
Skuad muda negara terus dihukum selepas hantaran leret Ali Al Hanbasi di kawasan kotak penalti, tertampan kaki pemain negara, Adib Ibrahim sekali gus menghasilkan gol keempat berbaki dua minit sebelum memasuki masa kecederaan.
Malaysia akan mengharungi aksi kedua kumpulan berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani, Ahad ini sebelum perlawanan terakhir menentang Laos di Stadium Thammasat pada 21 Jun ini.
Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat dari Kumpulan B iaitu Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.
Hanya empat pasukan terbaik layak merebut tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023.
BERNAMA.