MANCHESTER: Harry Maguire menjadi buruan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain pada jendela perpindahan musim panas ini dengan harga sekitar 50 juta pound (RM269.37 juta).
Media Inggeris melaporkan, perpindahan itu hampir menjadi kenyataan pada jendela perpindahan Januari lalu, namun gagal disempurnakan sebelum tarikh tutup.
Namun ia menguatkan lagi hasrat bek tengah England itu untuk menamatkan karier mengecewakan di Old Trafford sejak empat tahun lalu.
PSG dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar gaji 200,000 pound (RM1.08 juta) seminggu seperti diterima Maguire di United.
Maguire, 30, masih mempunyai baki dua tahun dalam kontraknya tetapi kapten United itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan di bawah kendalian Erik ten Hag.
Hanya sekali dia membarisi kesebelasan utama dalam saingan Liga Perdana Inggeris sepanjang lapan perlawanan terakhir kelab itu.
Ketika kemenangan pada aksi final Piala Liga bulan lalu, Maguire hanya beraksi pada dua minit terakhir menentang Newcastle.
Pengendali England, Gareth Southgate bagaimanapun masih menaruh keyakinan tinggi terhadap Maguire dan dia dijangka kembali pemain utama menjelang kempen kelayakan Euro 2024 pada 23 Mac ini.
PSG sekali lagi tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini, tewas di tangan Bayern Munich pada peringkat 16 terakhir.
Kelemahan benteng pertahanan yang diterajui pemain veteran Sepanyol, Sergio Ramos memaksa pengendali, Christophe Galtier mencari pemain baharu.
Maguire turut dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa pada Januari, tetapi ia juga gagal disempurnakan. – BERITA HARIAN