KUALA LUMPUR: Misi pencarian emas di temasya Olimpik kini bermula dengan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap barisan pemain badminton negara akan mempersiapkan diri pada tahap terbaik dan menghindari sebarang kecederaan.
Barisan pemain badminton negara akan memulakan langkah untuk mengutip mata bermula 1 Mei ini hingga Mei tahun depan dengan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai antara kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris.
Dalam pada masa yang sama, pemenang tiga pingat perak Olimpik itu berharap lebih ramai atlet negara dapat melayakkan diri ke temasya berkenaan terutama dalam acara badminton.
Chong Wei berkata semua mempunyai peluang sama sepertinya ketika melayakkan diri ke temasya Olimpik buat kali pertama di Athens justeru mereka dinasihatkan untuk terus berusaha.
“Saya ingat lagi kali pertama saya layak ke Olimpik Athens (2004) ketika itu saya langsung tak jangka dapat pergi berdasarkan ranking.
“Saya tak pernah wakil negara ke mana-mana kejohanan besar seperti Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Sea atau mana-mana kejohanan lain. Tapi saya beraksi di BAC dan mara ke suku akhir seterusnya berada di ranking ke-15 dunia.
Ketika itu setiap negara dibenarkan menghantar tiga wakil dalam kelompok 16 terbaik.
“Saya akhirnya disenaraikan pada saat-saat akhir mengiringi Wong Choong Hann dan Roslin Hashim yang sudah layak lebih awal.
“Masa itu memang tiada tekanan langsung kerana tidak diletakkan harapan untuk pingat. Saya tidak sangka dapat melangkah ke pusingan kedua sebelum tewas kepada Chen Hong, memang kecewa tetapi saya belajar banyak perkara,” katanya.
Tegasnya, beliau akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu atlet terutama cara untuk menghadapi tekanan.
“Tekanan beraksi di Olimpik ini tidak sama seperti kejohanan lain. Ia empat tahun sekali.
“Tekanan itu lebih dirasai apabila anda diletakkan harapan untuk membawa pulang pingat. Sama seperti saya, ketika di Athens semua orang tak letakkan tekanan pada saya tapi ia berbeza selepas itu apabila harapan mula diberikan kepada saya untuk mendapatkan emas pertama di Beijing 2008, London 2012 serta Rio 2016,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Fisio & Rehab SOUL di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis pelancaran itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Malaysia terus menantikan kilauan pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik dengan sandaran di Paris nanti diletakkan di atas bahu jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.