comscore
Tumpuan :
Sukan

Sharmendran bawa semangat ibu ke Kemboja

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (dua, kanan) dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali (dua, kiri) beramah mesra bersama Pembawa Jalur Gemilang di Temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja Sharmendran Raghonathan (tiga, kiri) dan ibunya, S Sambornam pada majlis penyerahan Jalur Gemilang itu di Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Misi mempertahankan kilauan pingat emas buat kali keempat berturut-turut di Sukan SEA Kemboja 2023 menjadi misi utama jaguh karate negara, R Sharmendran yang membawa semangat ibunya, S Sambornam ke temasya dwitahunan berkenaan.

Sharmendran yang diberi tanggungjawab selaku pembawa Jalur Gemilang ke Phnom Penh berkata, ibunya adalah segala-galanya terutama ketika proses awal pembabitannya dalam dunia karate sejak berusia 10 tahun lagi.

“Kami lalui banyak perkara kerana hanya emak saya saja bekerja. Kakak, abang semua masih kecil, kami lalui banyak perkara… emak saya seorang saja bekerja dan jaga empat orang. Apapun, (keadaan) kami lebih baik sekarang ini.

“Tak ramai tengok apa yang berlaku di belakang tabir, (hanya tahu) ‘oh, kamu ada itu ada ini, jadi pembawa Jalur Gemilang’. Tapi zaman kesusahan tak ramai yang tahu, namun (ibunya adalah) sebagai seorang wanita yang (berjaya) membawa empat anaknya ke persada dunia,” kata Sharmendran yang akan menganggap setiap perlawanan dihadapinya dalam acara kumite lelaki 75 kilogram (kg) sebagai aksi final.

“Sasaran utama adalah pertahankan emas dan setiap pusingan penting. Kalau nak dapatkan emas, perlu menang pusingan satu, dua, tiga (dan seterusnya). Jadi saya perlu menganggap setiap pusingan adalah final buat saya untuk pertahankan emas.

“Secara peribadinya, keputusan tak ada membawa perbezaan pun, cuma saya nak membuatkan seluruh komuniti, keluarga dan rakyat Malaysia berbangga walaupun apa pun berlaku setiap kali keluar dari gelanggang. Saya harus gembira dengan apapun keputusan diperoleh selepas sudah memberikan yang terbaik mungkin (apabila keluar gelanggang).

“Cabaran utama dari Indonesia dan Filipina. Saya rasa Vietnam tak (sebagai pencabar) kerana kami mempunyai sistem kuota… satu negara boleh menghantar empat atlet lelaki dan empat atlet wanita saja dalam acara individu. Vietnam mungkin menghantar untuk kategori lain manakala Indonesia dan Filipina ada. Jadi mereka adalah pencabar utama mempunyai peluang sama rata.

“Tak boleh kiralah sekiranya kamu sudah tiga kali menang emas sekali pun kerana itu sejarah. Sekarang generasi muda semakin meningkat naik dan akan membuatkan saingan lebih sukar. Malah prestasi negara di Asia Tenggara juga semakin meningkat.

“Vietnam dan Indonesia ada pemenang pingat di Kejohanan Asia, Malaysia ada dua pemenang pingat dalam kumite, jadi boleh dikatakan negara di Asia Tenggara seimbang kekuatannya dan tak ada negara yang menjadi pilihan utama. Bagi saya, kalau boleh menunjukkan prestasi terbaik dan berikan terbaik, maka pingat menjadi milik kamu,” katanya.

Dalam pada itu, Sambornam yang diberi penghargaan untuk membawa Jalur Gemilang ke pentas untuk diserahkan kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja di MSN hari ini berkata, dia berbangga dengan pencapaian anaknya itu.

“Mesti menang dan lakukan yang terbaik. Mesti pertahankan emas,” kata Sambornam.

Loading...
Terkini