KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dianggap sebagai ‘taktik kotor’.
Perkara itu dipersoalkan oleh lawannya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengapa ia dilakukan pada saat-saat akhir menjelang Mesyuarat Agung Tahun (AGM) esok.
Tegas Shapawi yang juga bekas Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), beliau tidak faham asas aduan atau tuduhan itu.
“Saya bersedia disiasat oleh SPRM, cuma saya tidak pasti apakah yang saya berikan kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sehingga begitu dakwaannya.
“Saya bukannya ada apa-apa, kecuali tiga biji buah nangka dari kebun belakang rumah saya saja yang mampu untuk berkongsi makan dengan kawan-kawan di BAM.
“Saya menafikan sebarang perlakuan negatif dalam isu pencalonan saya untuk bertanding jawatan Presiden MPM.
“Tapi cuba anda semua fikirkan semula, tarikh tutup pencalonan pada 30 November tetapi kenapa sekarang sehari sebelum pemilihan beliau membuat aduan sebegitu.
“Perkara itu yang menjadi persoalan, mengapa dia melengah-lengahkan senarai pencalonan, itu tindakan pengecut,” katanya.
Biarpun diancam dengan pelbagai tuduhan, Shapawi menegaskan akan meneruskan niatnya untuk mencabar kerusi nombor satu MPM esok.
“Walau bagaimanapun, kami akan tetap meneruskan cabaran demi menyelamatkan MPM dari karakter-karakter seperti ini.
“Malah saya terbuka sekiranya SPRM membuka kertas siasatan tetapi sekiranya siasatan SPRM tidak mempunyai sabitan apa-apa terhadap saya, saya akan lakukan tindakan yang sama mendakwa beliau memburuk-burukkan saya secara terbuka seperti ini.
“Saya yakin SPRM lebih mengetahui dengan dakwaan seperti itu,” katanya.
Terdahulu Megat tampil ke pejabat SPRM bagi tujuan membuka kertas siasatan terhadap dua individu yang dianggap menimbulkan elemen rasuah dan melanggar tata etika pemilihan ahli jawatankuasa dan amalan yang tidak sihat.
Individu berkenaan, adalah Shapawi dan Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Para Majlis Sukan Negara (MSN).
Laporan berkenaan menjadikan perebutan kerusi panas MPM semakin hangat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan MPM esok.
Semalam Megat mengesahkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sejak 2019.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.