GENTING HIGHLANDS: Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri menebus kekecewaannya di Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 pada Isnin lalu di laluan Peringkat 5 dari Slim River ke Genting Highlands, hari ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di puncak Genting Highlands pada perlumbaan Peringkat 5 dengan berada di tempat ke-33 dan ia sesuatu yang cukup memuaskan hatinya selepas mengalami kekejangan otot, dua hari lalu.
“Pada perlumbaan Peringkat 3 lalu saya cuba mendapatkan Jersi Putih (pelumba terbaik Asia), namun pada 30 kilometer (km) menuju ke garisan penamat, saya mengalami kekejangan,” kata Shaiful yang menemui garisan penamat dengan catatan tiga jam 31 minit 23 saat (s).
“Saya sedar yang saya perlu menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin pada Peringkat 5 ini kerana empat hari sebelum sebelum ini, laluan landai dan beralun dan kami lebih memberi tumpuan kepada pakar pecut, Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal.
“Untuk peringkat hari ini, fokus lebih terarah kepada saya serta rakan sepasukan seperti Muhammad Zawawi Azman dan Muhsin Al Redha Misbah, jadi kami bertiga kena mainkan peranan,” kata Shaiful.
Sebelum edisi ke-27 membuka tirainya pada Sabtu lalu, pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai sasaran untuk mencabar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dan kemenangan peringkat.
Dalam pada itu, Shaiful berkata, latihan pasukan di Genting Highlands sebelum ini banyak membantunya untuk mendapatkan keputusan positif di laluan peringkat hari ini.