NILAI: Insiden kemalangan cukup mengerikan berlaku membabitkan pelumba negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom pada pusingan kedua acara Keirin Elit Lelaki di Velodrom Nasional.
Namun, semangat perjuangan cukup tinggi ditampilkan Shah Firdaus apabila kembali meneruskan kayuhan walaupun tanpa tempat duduknya yang patah.
Kecekalannya itu nyata berbaloi dengan berjaya meneruskan saingan ke peringkat akhir selepas komisar kejohanan mengumumkan senarai tujuh pelumba berentap di penentuan pingat.
Segalanya bermula menerusi tindakan pelumba China, Xue Chenxi yang cuba untuk memberi tekanan kepada pelumba Jepun, Kohei Terasaki namun memakan diri apabila terjatuh.
Chenxi terus melanggar pelumba negara, Shah Firdaus bersama tiga pelumba lain ketika saingan acara keirin pusingan kedua memasuki selekoh terakhir.
Disebalik kecederaan yang menimpa, beliau terus mengambil basikalnya untuk meneruskan perlumbaan walaupun bahagian tempat duduknya patah.
Berjaya melepasi garisan bersama dua pelumba lain, komisar perlumbaan kemudiannya mengumumkan atlet kelahiran Johor antara dua pelumba yang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Rakan sepasukan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang turut mengakui semangat yang ditunjukkan Shah Firdaus harus dicontohi atlet lain.
Malah dia turut menggelarkan pelumba berusia 27 tahun itu sebagai “The Terminator”.