comscore
Tumpuan :
Sukan

Shah Firdaus demam sebelum bertanding acara keirin

KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan menjadi punca pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya menghadiahkan pingat buat negara, tetapi dia berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas pada Kejohanan Basikal Trek Dunia di Ballerup, Denmark.

Jurulatih basikal trek negara, Harnizam Basri berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Shah Firdaus dalam perlumbaan berkenaan kerana dirinya tahu apa yang dialami oleh pelumba berusia 28 tahun itu.

Sebelum ini pada tahun 2023, pelumba kelahiran Muar, Johor itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, namun tahun ini naik satu anak tangga untuk berada di tempat kesembilan.

“Shah berlumba dengan baik (acara keirin) walaupun dia berada dalam keadaan sakit. Dua hari sebelum pertandingan, Shah mengalami demam dan dia sebenarnya belum pulih sepenuh pada hari perlumbaan.

“Untuk Ridwan (Sahrom), dia nampak sedikit gugup ketika beraksi menentang nama besar dan dia memerlukan lebih banyak pendedahan perlumbaan di peringkat dunia.

“Nurul Izzah (Izzati Asri) dia layak di tempat ke-19 dalam pecut selepas menang di pusingan pertama tetapi terpaksa terima keputusan (dibatalkan) apabila komisar memaklumkan dia menyekat pelumba Jerman (Alessa-Catriona Propster) dan Anis ( Amira Rosidi) sama seperti Ridwan, dia kurang pengalaman di kejohanan kompetitif dan kelihatan gugup,” katanya.

Dalam perlumbaan acara keirin lelaki, pelumba Jepun, Kento Yamasaki berjaya memahat sejarah buat negaranya apabila meraih gelaran dunia pertama dalam acara itu sejak 1987, manakala Mikhail Yakovlev dari Israel menduduki di tangga kedua dan juara bertahan Colombia, Kevin Quintero, ketiga.

Terdahulu, Muhammad Ridwan terkandas di peringkat repechage pertama dan Nurul Izzah dan Anis Amira juga gagal meneruskan perjuangan apabila tewas di pusingan awal acara pecut wanita.

Seterusnya Shah Firdaus dan adiknya, Ridwan akan turun dalam acara pecut esok, manakala Nurul Izzah dan Anis Amira akan bersaing dalam acara keirin, Ahad ini.

Loading...
Terkini