PETALING JAYA: Malaysia berjaya mengikat kedudukan 1-1 menentang China pada separuh akhir Piala Thomas di Chengdu menerusi gandingan Aaron Cia-Soh Wooi Yik yang mengejutkan pasangan nombor satu dunia Liang Wei Keng -Wang Chang.
Meskipun tampak tertekan dengan sokongan padu penyokong tuan rumah menyaksikan mereka tewas 15-21 pada set pertama, namun Aaron-Wooi Yik pantas bangkit pada set kedua.
Mereka berjaya mengheret saingan ke set penentuan apabila menguasai set kedua dengan kemenangan 21-12.
Set penentuan nyata sarat dengan debaran apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata.
Pada kedudukan 10-10, saingan terus sengit sehingga mata terikat 17-17.
Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik tetap fokus ketika lawan mula melakukan beberapa kesilapan.
Pasangan negara yang berada di kedudukan kelima dunia tidak menoleh ke belakang lagi, menambah empat mata untuk kemenangan 21-17 pada permainan yang memakan masa 55 minit ini.
Dengan kedudukan terikat 1-1, tumpuan kini terarah kepada perseorangan kedua Leong Jun Hao yang ketika ini berdepan Li Shi Feng.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.