ALOR SETAR: Susulan insiden kekasaran pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh malam semalam, pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA FC) Rodney Celvin tampil memohon maaf.
Pada perlawanan yang menyaksikan Sang Kenari tewas 1-3, Rodney dilayangkan kad merah pada minit ke-61 selepas secara tidak sengaja mengasari pemain import lawan Seo Seonung hingga patah hidung.
Sehubungan insiden itu, Rodney mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada pasukan Perak FC, Seonung serta penyokong The Bos Gaurus.
“Saya ingin memohon maaf kepada pemain Perak FC, Seo Seonung dan penyokong atas insiden yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia semalam.
“Sejujurnya saya tiada niat untuk mencederakan mana-mana pemain dan insiden itu berlaku secara tidak sengaja selepas dikasari. Semoga Seo cepat sembuh,” kata Rodney di laman media sosialnya sebentar tadi.