PETALING JAYA: Motivasi Harimau Malaya semasa perhitungan penentuan juara Pesta Bola Merdeka dua hari lagi kian bersemarak menyaksikan penyerang Mohd Safawi Rasid menghampiri pencapaian peribadi terbaharu.
Jaringan kemenangan 2-1 semasa menewaskan Filipina Rabu lalu membolehkannya mengumpul 22 gol dan memerlukan satu jaringan sahaja lagi untuk berkongsi kedudukan keenam carta penjaring terbanyak pasukan kebangsaan bersama-sama James Wong dan Mohd Safee Sali.
“Saya teruja kalau dapat melakukannya kerana bukan mudah nak menjaringkan gol ditambah dengan usia muda saya ini. Ia satu harapan, kalau dapat buat sudah tentu satu rekod untuk diri saya,” jelas penyerang berusia 27 tahun itu.
Beliau yang gemar memainkan peranan di posisi sayap itu menyempurnakan penalti mantap minit ke-73 permainan sewaktu muncul sebagai pemain gantian di Stadium Nasional.
Skuad negara ketika ini terus berusaha menyesuaikan diri dengan percaturan dan gaya permainan jurulatih baharu Pau Marti Vicente yang menggantikan Kim Pan Gon.
Mereka kelihatan seakan lambat panas menyebabkan terlebih dahulu ketinggalan dua hari lalu, sebelum berjaya membuat kebangkitan namun cabaran lebih besar menanti memandangkan Lubnan berkelebihan dari segi ranking ke-116 FIFA ditambah aspek fizikal keras pemainnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.