Tumpuan :
Sukan

Semoga bekas anak didik capai kejayaan di Washington – Misbun

KUALA LUMPUR: Biarpun bukan lagi bergelar Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek tetap meletakkan harapan tinggi untuk bekas anak didiknya melakar keputusan yang membanggakan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat, September nanti.

Legenda badminton berusia 63 tahun itu percaya pemain akan menampilkan prestasi terbaik mereka pada kejohanan itu.

“Bukan mereka tidak boleh bermain atau tiada kredibiliti, tetapi ketika itu mereka pergi pertandingan tidak menang (Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, bulan lalu).

“Namun, segala persiapan yang kita nak persiapkan semuanya menuju ke arah itu (Kejohanan Remaja Dunia). Mereka sedang dalam pembinaan untuk sampai ke tahap konsistensi itu.

“Saya sudah cuba sedaya upaya untuk ke arah itu tetapi kita tidak berjaya ketika itu. Ia belum lagi pertandingan yang sepatutnya kita sasarkan,” kata Misbun.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum mengumumkan senarai pemain yang akan menggalas cabaran di Washington tetapi barisan pemain perseorangan lelaki antara sandaran bagi menghadirkan kejayaan.

Antaranya pemain yang dijangka menjadi pertaruhan ialah Eogene Ewe, Jan Jireh Lee dan Muhammad Faiq Haziq.

Misbun ditamatkan kontrak oleh BAM berikutan prestasi hambar skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia, bulan lalu sekali gus mengundang kemelut antara jurulatih itu dengan BAM.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk penyelesaian secara baik dan menganggap kes ditutup.

Artikel berkaitan : Datuk Misbun, BAM berpisah

Loading...
Terkini