SUBANG JAYA: Dua pasukan pilihan pasukan Zealord dari Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan Victoria Institution (VI) akan bertarung dalam penentuan juara Kejohanan Malaysia Super Schools Rugby (SSR) 2023.
Kejohanan kali ke-7 itu, dijadual berlangsung pada 23 September ini di Padang Ragbi A, Universiti Putra Malaysia, UPM, menawarkan 10 ribu ringgit selaku juara dan 5 ribu untuk pasukan di tempat kedua.
SEMASHUR Zealord yang dibimbing Mohd Hafizul Saiful Anuar mara ke final setelah menundukkan Maktab Tentera Diraja (MTD) pada separuh akhir manakala VI kendalian Rozhan Yahya melayakkan diri menewaskan SMK King Edward VII (KE).
Kejohanan yang bermula pada 2013 menyaksikan SEMASHUR Zealord bakal tampil selaku penyandang juara yang dimenangi pada 2019, kali terakhir kejohanan berjaya dilangsungkan sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Menariknya, VI turut memburu gelaran kali kedua selepas muncul juara pada 2017.
Pengarah Kejohanan, Shahrizin Shaharudin melahirkan rasa bangga dan terharu dengan kualiti persembahan pasukan dan penganjuran kejohanan yang dilihat berada pada tahap membanggakan.
“Sejak kejohanan ini mula diperkenalkan pada 2013 sehingga sekarang, Super Schools Rugby (SSR) telah berjaya melahirkan beberapa pemain kebangsaan bagi pasukan ragbi variasi 15 sebelah. Saya percaya berdasarkan kualiti permainan individu dalam
kejohanan ini, Malaysia tidak akan ketandusan pemain berkualiti pada masa akan datang.
SSR adalah sebuah kejohanan ragbi peringkat kebangsaan yang menampilkan aksi 15 sebelah peringkat akar umbi terbaik.
Dianjurkan oleh Enervive Sports dengan kerjasama STAROBA, sebanyak 16 pasukan yang terdiri daripada sekolah-sekolah yang kaya dengan sejarah dan tradisi ragbi bertanding untuk memburu kejuaraan.