KUALA LUMPUR: Kejayaan Pahang Rangers meraih kejuaraan berganda pada saingan Futsal kebangsaan musim ini jelas memperlihatkan perancangan rapi kelab pantai timur itu.
Lebih menarik, ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas Ullastre dari Sepanyol, menyifatkan kejayaan anak-anak buahnya didorong semagat juang pahlawan Mat Kilau berdasarkan kebangkitan dan semangat melawan yang ditampilkan sepanjang musim ini.
Kejuaraan kedua Pahang Rangers diraih selepas menjulang Piala Futsal Malaysia dengan menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Malawati, Shah Alam.
Pahang Rangers turut mengecewakan lawan sama pada final Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023.
Bagaimanapun pada aksi final Piala Futsal Malaysia, Pahang berdepan tentangan sengit sehingga pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
JDT mendahului seawal minit kedua menerusi Ekmal Shahrin sebelum Pahang Rangers meraih gol penyamaan hasil sentuhan Ridzwan Bakri pada minit ke-16.
Satu sama terikat pada babak pertama, hanya tiga minit selepas rehat, JDT sekali lagi di depan. juga menerusi jaringan Ekmal.
Minit ke-35 Azwann Ismail mengukuhkan kedudukan JDT untuk kedudukan 3-1.
Begitupun kesilapan Muhd Saad Abdul Sani menjaringkan gol sendiri membolehkan Pahang Rangers merapatkan kedudukan 2-3.
Minit ke-39, kedudukan kembali seimbang apabila Ridzwan meledak gol penyamaan Pahang Rangers.
Berlarutan ke masa tambahan, giliran Pahang Rangers di depan hasil jaringan Sergio Jamur pada minit ke 42.
Debaran makin memuncak apabila Awaluddin Mat Nawi menjaringkan gol penyamaan empat sama JDT memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kejayaan penjaga gol Pahang Rangers Zainulzahin Sinuan menghalang rembatan Azwann nyata mendorong kejayaan pasukannya.
Ketenangan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir memastikan Pahang Ranger bergelar juara mengakhiri drama sepakan penalti 3-1.
Kejuaraan Pahang Rangers diceriakan dengan beberapa anugerah yang diraih pemainnya.
Ridwan Bakri dipilih sebagai pemain paling bernilai dan dia turut muncul penjaring terbanyak bersama rakan pasukan, Amin Nasrollah Zadeh.
Manakala penjaga gol terbaik milik Zainulzahin Sinuan.
Sementara itu Selangor MAC mendudukki tempat ke tiga selepas mengalahkan Terengganu 7-2.