KUALA LUMPUR: Misi skuad Harimau Malaya untuk berada dalam kedudukan ke-120 dunia menjelang hujung tahun tidak mustahil untuk direalisasikan.
Apa yang pasti langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangka aksi persahabatan menentang pasukan di ranking lebih tinggi jelas satu tindakan yang tepat dalam usaha meningkatkan lagi ranking skuad kebangsaan.
Skuad kebangsaan kendalian jurulatih Korea, Kim Pan Gon kini berada di kedudukan ke-136 dunia dan kejayaan mengikat dua pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia iaitu Syria dan China pada aksi antarabangsa Tier 1 sememangnya sesuatu yang amat membanggakan.
Untuk rekod Syria berada pada kedudukan ke-94 dunia manakala China, ranking ke-80 dunia.
Pada aksi persahatan pertama pada 6 Septmber di China, Harimau Malaya menampilkan semangat juang tinggi, bangkit ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria dengan keputusan 2-2.
Dua jaringan Malaysia menerusi Mohd Akhyar Rashid dan Darren Lok.
Semalam pula, Harimau Malaya nyaris memalukan tuan rumah, China. Malaysia berjaya mendahului China menerusi jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan pada lewat babak pertama.
Malaysia sebelum itu seawal minit kedua berjaya membolosi gawang China, malangnya jaringan Darren Lok dibatalkan kerana offside.
Terdahulu, skuad kebangsaan terus menunjukkan peningkatan apabila mendaki satu lagi anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-136 dunia.
Kemaskini terbaharu ranking FIFA, Malaysia di tangga ke-136 dunia menghimpun 1091.57 mata dan ketinggalan kira-kira empat mata di belakang Filipina (1095.66 mata).