
KUALA LUMPUR: Beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati ramalan selaku pilihan pertama Seluruh England apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ketiga dunia, menewaskan gandingan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 22-20, 9-21, 21-18 dalam tempoh satu jam pada pusingan pertama, hari ini.
Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, pasangan suami isteri itu terpaksa berhempas pulas untuk memenangi set pertama sebelum tewas mudah di set kedua, namun bangkit semula untuk melakar kemenangan di set penentuan.
Soon Huat-Shevon akan bertemu wakil Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson di pusingan kedua.
Bagaimanapun gandingan beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal mengikut jejak langkah Soon Huat-Shevon apabila kandas di pusingan pertama.
Beregu negara itu yang mara sehingga ke separuh akhir Masters Orleans minggu lalu, tewas di tangan gandingan China, Hung Di-Liu Yang 18-21, 21-16, 17-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.