Tumpuan :
Sukan

Selepas Kenny Goh, kes Roslin-Chin Chai juga selesai secara baik

Kes saman fitnah dikemukakan Datuk Ng Chin Chai (kiri) terhadap Roslin Hashim diselesaikan secara baik. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Naib Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim diselesaikan secara baik.

Kedua-dua individu berkenaan mencapai satu penyelesaian di luar mahkamah dengan Roslin membuat permohonan maaf berhubung kenyataan fitnah dan menyinggung Chin Chai sewaktu strim langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook bekas pemain negara itu pada 19 Januari 2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Ng Chin Chai. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya sebagai seorang peguam dan pegawai Persatuan Badminton, terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Ng Chin Chai melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.

“Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Ng Chin Chai dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Ng Chin Chai serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Ng Chin Chai.

“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa -apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Datuk Ng Chin Chai,” kata Roslin dalam satu kenyataan.

Terma penyelesaian di antara kedua pihak direkodkan di Mahkamah dalam satu Penghakiman Persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dalam semangat penyelesaian secara aman ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan terma-terma penyelesaian sebagai sulit.

Minggu lalu, Roslin turut menyelesaikan satu kes saman fitnah secara baik bersama Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

Loading...
Terkini