
KUALA LUMPUR: Selangor terpaksa berhempas pulas beraksi dengan 10 pemain lebih 80 minit sebelum berjaya menewaskan juara bertahan, PDRM 3-2 pada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila umpanan Ronnie Fernandez disudahkan dengan jaringan Alvin Fortes.
Kegembiraan Selangor tersentak apabila kesilapan dilakukan penjaga gol mereka, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi ketika cuba mengeluarkan bola di luar kotak penalti menyebabkan bola dirampas penyerang PDRM, Shahrel Fikri Fauzi dengan pintu gol Red Giants sudah terbuka.
Situasi itu memaksa kapten Selangor, Safuwan Baharudin melakukan tindakan menyelamat, malangnya terjahan pemain kelahiran Singapura itu terhadap Shahrel menyebabkan dia dilayangkan kad merah pada minit ke-11 selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi tidak patah semangat, malah mereka berjaya menambah gol kedua pada minit ke-18 juga menerusi Fortes yang melakukan rembatan susulan selepas percubaan Nikola Jambor ditepis penjaga gol, Bryan See.
Bagaimanapun, kegembiraan Red Giants tetap tidak bertahan lama apabila PDRM berjaya bangkit dengan dua jaringan menerusi penyudah Shahrel dan Badrul Affendy Mohd Fadzli pada minit ke-27 dan 39 untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 2-2.
Stadium MBPJ kembali bergema hanya enam minit selepas bersambung babak kedua apabila penyerang import Selangor, Ali Olwan mencetak gol ketiga Red Giants untuk meletakkan pasukannya sekali lagi di depan.
Penyerang kebangsaan Jordan itu boleh dianggap sebagai wira kerana ia menjadi jaringan kemenangan Selangor apabila tiada tambahan gol berjaya dihasilka kedua-dua pasukan hingga tamat perlawanan.
Bekalan tipis itu masih belum selamat buat Selangor dengan kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi dalam aksi final kedua di gelanggang sama, 22 Februari ini untuk merebut kejuaraan.