Tumpuan :
Sukan

Selangor tewaskan Pahang 2-0

Pemain Sri Pahang FC, Mohd Azrif Nasrulhaq (tengah) diasak pemain Selangor FC, Ali Iyad Ali Olwan (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Selangor berada di kedudukan kedua Liga Super apabila menewaskan finalis Piala Malaysia, Sri Pahang 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Gergasi Merah memerlukan 14 minit untuk berada di depan menerusi penyudah Ali Olwan yang bijak melarikan bola di celah pemain Sri Pahang sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menutup babak pertama dengan kedudukan lebih selesa hasil rembatan deras yang dilakukan Ronnie Fernandez selepas menerima umpanan daripada Quentin Cheng pada minit ke-39.

Olwan kemudian berjaya meledak gol ketiga Selangor pada minit ke-56, namun jaringan berkenaan dibatalkan selepas pengadil Zamzaidi Katimin meneliti video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan bola terkena tangan Quentin sebelum dia membuat umpanan kepada pemain Jordan itu.

Sri Pahang terpaksa akur dengan kekalahan kepada Selangor selepas beberapa percubaan mereka gagal menemui jaringan termasuk sepakan lencong Kpah Sherman pada minit ke-65 yang sekadar singgah di tiang gol.

Selangor kini mengumpul 42 mata selepas mengharungi 19 perlawanan, namun 13 mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kemenangan ke-13 yang diraih dalam liga itu membolehkan Gergasi Merah menjarakkan diri dari pasukan tangga ketiga, Sabah kepada 10 mata, namun skuad Sang Badak masih kekurangan dua perlawanan.

Sementara itu, Sri Pahang yang menyingkirkan Selangor dalam pusingan 16 Piala Malaysia kekal di kedudukan ke-11 apabila hanya menghimpun 16 mata daripada 17 perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini