Tumpuan :
Sukan

Selangor tamatkan penantian 25 tahun Piala Emas Raja-Raja

Foto Fariz Zolkarnain – Selangor menjulang trofi Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Oleh: Fariz Zolkarnain

PETALING JAYA: Selangor berjaya menamatkan penantian selama 25 tahun apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-100 selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Selangor kendalian Shaiful Nizam Ab Khamis memulakan aksi dengan langkah kanan apabila terlebih dahulu di depan seawal minit ketiga menerusi jaringan Muhammad Adim Muzahhir yang mudah menampan masuk bola untuk menewaskan penjaga gol PDRM, Wilfred Anak Jabun.

Tersentak, PDRM kembali memperkemas permainan dengan beberapa kali cuba menembusi benteng pertahanan Selangor.

Asakan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamad Fakrullah berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan menarik dari luar kotak penalti, minit ke-21.

Kekal 1-1 tamat separuh masa, aksi lebih menarik disajikan kedua-dua pasukan sebaik bersambung babak kedua.

Ketika aksi memasuki minit ke-59, giliran PDRM mendahului permainan kali ini hasil jaringan Muhammad Eskandar Ismail yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Selangor, Muhammad Aizul Hakim.

Namun selang 13 kemudian, Selangor menyamakan semula permainan melalui sepakan percuma Muhammad Amirul Haziq.

Tiada lagi gol menyusul sehingga tamat 90 minit permainan, kedua-dua pasukan dikerah beraksi di masa tambahan.

Tuah nyata milik Selangor apabila pemain gantian, Nazrin Mohamad Nasir muncul wira apabila tandukannya berjaya mengegar jaring PDRM pada minit ke-119.

Jaringan kemenangan itu bukan sahaja menceriakan ratusan penyokong Selangor yang hadir tetapi lebih istimewa berjaya menamatkan penantian selama 25 tahun selepas kali terakhir memenangi kejuaraan ini pada 1997.

Selaku juara, Selangor membawa pulang trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dan duit syiling emas buat para pemain.

PDRM yang terpaksa akur di tempat kedua meraih RM30,000.

Trofi dan hadiah disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Loading...
Terkini