PETALING JAYA: Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan kelebihan lapan mata sekalipun terikat tanpa jaringan ke atas Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Selangor seharusnya mengucapkan terima kasih kepada penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang cemerlang menyelamatkan sepakan penalti pada babak kedua sekali gus memastikan mereka tidak tumbang di laman sendiri.
Masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Cabaran MFL, Selangor bagaimanapun terpaksa berhempas pulas selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama.
Sabah menguasai awal babak kedua tetapi pertahanan Selangor berjaya mengawal situasi dengan baik bagi mengelak gawang mereka daripada dibolosi.
Selangor beroleh peluang terbaik untuk membuka jaringan susulan usaha solo Ali Olwan pada minit ke-68 namun dia yang berkeseorangan tidak berjaya menyudahkannya kepada jaringan.
Pelawat terlepas peluang mendapat jaringan yang mungkin menjadi gol kemenangan buat mereka selepas Kalamullah Al-Hafiz berjaya membaca sepakan penalti Darren Lok dengan tepat pada minit ke-74.
Sabah sebelum itu diberikan sepakan penalti selepas semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menyaksikan Saddil Ramdani dijatuhkan.
Selepas ini, Selangor akan menentang pasukan tercorot liga, Kelantan Darul Naim FC (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) namun turun dengan status sebagai pelawat.
Sabah pula akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk aksi menentang Terengganu FC (TFC).