KUALA LUMPUR: Selangor merampas gelaran ‘Raja Lembah Klang’ selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Ia sekali gus menyaksikan skuad Gergasi Merah berjaya membalas dendam terhadap skuad City Boys yang menewaskan mereka juga dengan jaringan 1-0 dalam aksi pusingan pertama liga di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Julai lalu.
Selangor yang turun dengan misi untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga menyenaraikan Faisal Halim dalam kesebelasan utama yang turut berperanan sebagai kapten.
Namun, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi terpaksa menunggu hingga minit ke-63 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak dekat yang dilakukan Alvin Fortes.
Gergasi Merah bagaimanapun terpaksa berdepan beberapa detik cemas pada penghujung perlawanan selepas KL City dilihat cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan.
Naib juara Piala FA itu bagaimanapun bernasib baik apabila sekurang-kurangnya dua peluang terbaik yang dimiliki pemain KL City, Haqimi Azim Rosli dan Jovan Motika pada minit ke-85 dan 88 gagal disempurnakan dengan jaringan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor kini mengumpul 38 mata selepas 17 perlawanan, namun ketinggalan 11 mata daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang selesa di kedudukan teratas.
Sementara itu, KL City pula berada di tangga kesembilan dengan menghimpun 17 mata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.