comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor FC sah tarik diri Piala Sumbangsih

 

KUALA LUMPUR: Berbaki 48 jam sebelum sepak mula Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini, Selangor FC membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri daripada perlawanan itu.

Menerusi satu kenyataan, skuad Red Giants terpaksa mengambil keputusan itu dengan rasa berat hati apabila isu keselamatan pemain dan pegawai menjadi keutamaan pasukan.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 ini.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah kelab ini nantikan.

“Kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan. Segala kesulitan amat dikesali,” kata kelab itu.

Petang tadi, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan aksi itu selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

Menurut badan pengelola itu, keputusan meneruskan perlawanan sumbangsih dibuat selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

Dianggarkan seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

Semalam, Selangor FC menghantar permohonan menangguhkan aksi merebut Piala Sumbangsih selepas bintang Red Giants, Faisal Halim diserang oleh dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Ekoran kejadian itu, rata-rata pemain Selangor FC bimbang dengan tahap keselamatan menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini