Tumpuan :
Sukan

Selangor FC rangkul gelaran juara Piala Cabaran

Pasukan Selangor FC menjadi juara Piala Cabaran MFL 2024/2025 selepas perlawanan akhir kedua menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – Foto NSTP

PETALING JAYA: Selangor FC akhirnya menamatkan badi kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) apabila muncul juara Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM FC 4-0 dalam aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi, sekali gus merakam agregat 7-0.

Penantian lama itu dilihat cukup istimewa biarpun ia adalah saingan ‘kelas kedua’ terutama dalam misi menamatkan badi kejuaraan domestik yang kali terakhir dimenangi 10 tahun lalu dengan menjulang Piala Malaysia 2015 lalu.

Kejayaan itu pastinya membakar semangat Red Giants untuk mengharungi baki aksi Liga Super dengan sasaran menamatkan saingan di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), bagi membolehkan juara 33 kali Piala Malaysia itu meraih slot beraksi di Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim depan.

Bagi PDRM FC pula, kekalahan kali ini cukup pahit untuk ditelan selepas pasukan itu dihukum sebelum perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kesalahan menurunkan pemain digantung pada final pertama minggu lalu.

Ia menyaksikan keputusan 3-2 sebelum ini dibatalkan dengan Selangor FC diberi kemenangan 3-0 sekali gus meletakkan anak buah Katsuhito Kinoshi cukup ‘bernafsu’ dalam perlawanan final kedua.

Dalam aksi itu, Selangor FC yang hadir selaku pasukan pelawat tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit keempat hasil jaringan penyerang import dari Jordan, Ali Olwan.

Kelebihan itu kemudiannya digandakan Yohandry Orozco di minit ke-10 sebelum Ronnie Fernandez menanduk masuk untuk gol ketiga minit ke-30.

Bersambung babak kedua, skuad Sang Saka Biru tampil lebih kemas namun pelawat tetap berjaya menambah jaringan keempat, sekali lagi menerusi Orozco di minit 80 yang memanfaatkan hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi.

Empat gol kekal hingga wisel penamat dan penantian sedekad akhirnya berakhir selain ia adalah trofi Piala Cabaran pertama yang berada dalam kabinet skuad Merah Kuning.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini