
SHAH ALAM: Selangor mencadangkan e-sukan sebagai salah satu sukan tambahan pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, tahun hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, cadangan itu akan dibincang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan exco-exco sukan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 26 Februari ini .
“E-sukan sedang dipertimbangkan untuk kita libatkan dalam penganjuran Sukma nanti. Ia bukan sukan teras tapi sukan tambahan yang juga dilaksanakan di Sukma Sarawak baru-baru ini.
“Kita akan bincang pada mesyuarat berkenaan yang mana sukan tambahan akan diputuskan dan Selangor akan cadangkan e-sukan ini.
“Mudah-mudahan penganjuran program Selangor Future Cup 2025 bagi kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) ini dapat mencungkil bakat sedia ada untuk dijadikan wakil e-sukan nanti,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025 di sebuah pusat beli belah di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Najwan berkata perbincangan akan diadakan bersama Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) bagi rancangan membangunkan hub e-sukan di bangunan hotel terbiar di Seksyen 13.
Katanya, perbincangan antara Menteri Besar Selangor dan MBI itu adalah untuk mengenalpasti potensi pembangunan hub e-sukan di bangunan berkenaan.
“Tempatnya sudah ada cuma dari segi kos dan siapa yang akan menguruskan tempat itu perlu dibincangkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.