Tumpuan :
Sukan

Selangor belasah’ Perak 4-0

Foto Selangor FC

KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) membelasah Perak FC 4-0, pada aksi di Stadium Perak, sebentar tadi, sekaligus merampas kedudukan kedua daripada Sri Pahang FC (SPFC).

Kemenangan itu meletakkan kedua dua pasukan berkongsi 25 mata namun anak buah Tan Cheng Hoe memintas ‘Tok Gajah’ berdasarkan kelebihan gol.

Perak FC pula gagal meneruskan momentum selepas berjaya meraih kemenangan pada aksi terakhir berdepan Kelantan FC dan pungutan mata selepas 11 perlawanan kekal satu digit.

Pada aksi terbabit, SFC terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk membuka jaringan selepas mereka dihadiahkan sepakan percuma pada sudut yang baik.

Foto Selangor FC

Dua pemain berdiri di hadapan bola iaitu Faisal Halim dan Ayron del Valle namun Ayron yang mengambil tendangan itu berjaya menyudahkannya dengan cantik untuk gol pertama pelawat.

Jaringan itu adalah gol kelapan buat Ayron dalam kancah Liga Super setakat ini dan SFC terus melebarkan jurang menerusi Faisal Halim di penghujung babak pertama.

Tuan rumah tambah tertekan apabila ketinggalan tiga gol hanya selepas lima minit babak kedua bersambung apabila rembatan jarak jauh Mukhairi Ajmal Mahadi menewaskan T Shaheeswaran buat kali ketiga.

SFC terus ‘menyeksa’ Perak FC apabila menambah gol keempat pada minit ke-70 menerusi tandukan mudah Ayron untuk melengkapkan malam bergaya SFC di tempat lawan.

Loading...
Terkini