TEMERLOH: Sri Pahang FC terlepas peluang untuk meraih kemenangan pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024 apabila seri 1-1 menentang Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Pelawat terlebih dahulu memberi ancaman kepada tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol hasil sentuhan Yohandry Orozco yang menerima hantaran Faisal Halim seawal minit kelima.
Bagaimanapun, jaringan pemain tengah import itu tidak disahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir kerana berada dalam kedudukan offside.
Empat minit kemudian, Red Giant hampir meletakkan skuad itu di hadapan tetapi percubaan penyerangnya, Ronnie Fernandez terkena tiang di sebelah kiri biarpun penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hishamuddin sudahpun tertewas.
Peluang terbaik tuan rumah pula hadir daripada Manuel Hidalgo tetapi bola rembatan tepat ke arah penjaga gol Selangor, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-10.
Gol yang dinantikan Sri Pahang akhirnya hadir menerusi tandukan pemain tengah, Sean Selvaraj untuk memastikan skuad itu mendahului 1-0 ke atas lawan pada minit ke-26.
Selepas itu, Selangor berusaha untuk merobek gawang Sri Pahang tetapi dinafikan jentera pertahanan Tok Gajah dengan keputusan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, ketinggalan 0-1 menyaksikan Selangor menggandakan asakan dan percubaan terbaik hadir daripada pemain gantian, Alvin Fortes tetapi bola terkena tiang di sebelah kanan pada minit ke-58.
Dua minit selepas itu, Mykola Ahapov memiliki peluang terbaik untuk menambah jaringan buat skuad Tok Gajah tetapi bola tandukannya berjaya ditepis Muhammad Azim Al Amin.
Gol penyamaan Selangor akhirnya berjaya dihasilkan menerusi tandukan pemain import, Nikola Jambor minit ke-82 dan keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.
Bagi Sri Pahang, tugas sukar menanti mereka pada aksi timbal balik apabila dijadual bertandang ke halaman Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 1 Disember depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.