comscore
Tumpuan :
Sukan

Segera bincang elok-elok, jangan rosakkan bola sepak Malaysia – Pekan

Foto: NSTP

PETALING JAYA: Isu hukuman ke atas Selangor FC nampaknya semakin bergelora menyaksikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut ‘murka’ dengan hukuman yang dianggap melampau itu.

Perkembangan terbaharu, dengan kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini  yang memaklumkan akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat.

Turut berkongsi pandangan cerita ‘panas’  bola sepak kebangsaan, Datuk Dr Pekan Ramli, penganalisis sukan tanah air yang dihubungi Buletin TV3, sebentar tadi.

“Saya tak nafikan hukuman ke atas Selangor itu memang wajar untuk pengajaran supaya tidak berulang lagi atau untuk menjadi pengajaran kepada pasukan lain pada masa akan datang.

“Malangnya dalam kes ini ia nampaknya tidak ditangani dengan bijaksana dan cermat tetapi seperti satu bentuk hukuman yang tidak masuk akal dan bagaikan seperti ada  pengaruh emosi.” ujar Pekan.

Bagi Pekan setelah begitu lama masa diambil untuk menjatuhkan hukuman kepada Selangor FC, beliau tidak mengjangka ‘kandungan’ hukuman ini.

Baginya hukuman sepatutnya mempunyai unsur budi bicara atau rasa simpati kepada sebab-sebab utama kenapa Selangor FC menarik diri beraksi di Piala Sumbangsih.

Tegas Pekan, hukuman itu juga sepatutnya sudah mengambilkira bahawa tindakan itu mendapat restu Sultan Selangor dan bagi beliau tidak semudah itu untuk baginda tiba-tiba merestuinya.

“Ya, dalam hal sukan ia kelihatan tidak begitu baik apabila seorang Sultan turut campur tangan dalam isu panas begini.

Namun apabila Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan ‘murka’ atas hukuman yang dijatuhkan ke atas Selangor FC, ini petanda bahawa isu ini akan berpanjangan dan belum selesai.

“Selain dihukum tolak tiga mata, main stadium kosong dan ganti rugi kepada JDT yang belum diputuskan jumlahnya, saya juga kurang faham apa signifikan denda yang dikenakan RM100,000.00 itu dan kemudiannya nak diserahkan pula kepada badan kebajikan.

“Apa kaitan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC dengan perkara kebajikan itu dan seolah-olah wang denda itu tidak penting. Jika tidak begitu penting mengapa perlu denda itu begitu tinggi.

Pekan juga berharap kemelut ini jangan dibiarkan semakin kusut dan lebih baik perkara ini diselesaikan segera dan jika perlu Selangor FC dipanggil untuk berbincang dengan sebaik-baiknya.

Seterusnya menyelesaikan  perkara ini secara profesional dengan telus dan  ‘transparent’ agar tidak menimbulkan lebih banyak prasangka-prasangka buruk.

Pada waktu sama Pekan menegaskan jangan biarkan lebih banyak campur tangan daripada pelbagai pihak yang boleh membawa lebih banyak kemudaratan kepada bolasepak negara kita dan liga Malaysia.

“Kepada pemegang taruh bolasepak negara kita, fikirlah jauh ke hadapan jika benar-benar sayangkan bolasepak ini.

“Jika merasakan sudah tidak mampu untuk berlaku adil kepada semua pihak, berlaku adillah pada diri sendiri agar nanti tidak diusir pergi dalam kehinaan,” kata Pekan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini