Tumpuan :
Sukan

SEAGF setuju kurangkan sukan tradisional, ‘pelik’ di Sukan SEA

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. – FOTO ; NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga edisi Sukan SEA selepas ini akan mengurangkan penganjuran sukan ‘pelik’ dan tradisi, dengan keutamaan pada sukan yang dipertandingkan di Olimpik dan Sukan Asia.

Ini berikutan pindaan Piagam Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang dipersetujui oleh negara-negara anggota awal bulan ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, 11 negara yang mengambil bahagian dalam sukan dwitahunan itu bersetuju untuk mengurangkan bilangan sukan pilihan pada Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia 2027 dan Singapura 2029.

“Piagam itu telah diubah pada 4 Mei, harapnya selepas ini tiada lagi perkara yang berlaku dalam edisi terdahulu. Kategori sukan untuk tuan rumah pilih telah dikurangkan, kami akan fokus pada Sukan Olimpik dan Sukan Asia,” katanya dalam sidang media semalam.

Dalam Sukan SEA, selain sukan Kategori 1 – olahraga dan akuatik (renang, terjun) – iaitu sukan mandatori, tuan rumah boleh memilih untuk memperkenalkan sukan bukan Olimpik dan sukan tradisional jika sekurang-kurangnya empat negara bersetuju untuk mengambil bahagian.

Hal ini telah menyebabkan tuan rumah, termasuk Malaysia, menambah sukan dan acara yang dikuasai mereka dan menggugurkan acara yang tidak dikuasai, untuk mendapatkan kedudukan pingat yang baik, biasanya menyasarkan juara keseluruhan.

Antara sukan kurang popular dipertandingkan di Sukan SEA baru-baru ini adalah arnis, catur ouk chaktrang, kenpo, kun bokator, kun khmer, kurash, hoki dalam air, renang sirip dan vovinam.

Meskipun perubahan positif itu, Mohamad Norza memberi amaran Malaysia mungkin akan masih lagi ketinggalan dalam Sukan SEA jika semua pihak berkepentingan terutama Majlis Sukan Nasional (MSN) dan badan sukan kebangsaan tidak memperbaiki kelemahan.

“Bercakap mengenai Sukan Olimpik, kita ada olahraga dan akuatik dalam Kategori 1, kita tak boleh lari daripada itu. Jadi saya rasa masa dah sampai untuk kita bersama-sama melihat pada perkara ini untuk bawa sukan kita ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Belia dan Sukan untuk merangka semula sistem ganjaran pada atlet, mendakwa negara jiran seperti Indonesia mempunyai sistem ganjaran yang lebih baik.

Mohamad Norza berkata atlet dan badan sukan kebangsaan yang mempunyai prestasi baik harus diberi ganjaran sewajarnya, manakala kementerian juga boleh menghukum mereka yang gagal mencapai jangkaan dengan mengurangkan dana mereka.

Pada Sukan Kemboja baru-baru ini, Malaysia hanya mencapai kedudukan ketujuh dengan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa, prestasi terburuk pasukan negara dalam sejarah sukan dwitemasya itu sejak 1959, dengan olahraga memenangi lima daripada 47 emas yang ditawarkan dan renang; satu daripada 39. – BERNAMA

Loading...
Terkini