KUALA LUMPUR: Pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui sudah tidak sabar untuk membimbing skuad negara menjelang kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.
Misi besar dipikul jurulatih berusia 46 tahun dari Australia itu apabila hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Arab Saudi.
Harimau Malaya boleh dianggap tidak berdepan masalah untuk menjadikan pasukan di ranking 175 dunia, Nepal sebagai mangsa pertama dalam saingan Kumpulan F.
Turut berada dalam kumpulan sama adalah gergasi Asia Tenggara, Vietnam dan Laos.
“Ia (kelayakan Piala Asia 2027) menjadi tumpuan kami. Kami mempunyai dua bulan bagi untuk melakukan persiapan dan bersiap sedia bagi kem (latihan).
“Saya tidak sabar untuk melalui proses ini dan memasuki kem latihan bersama pemain buat kali pertama. Kami akan bekerja keras untuk menjadi pasukan yang kuat,” katanya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan status terkini pemain warisan yang menjadi perhatian peminat tempatan.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan, badan induk itu memaklumkan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada kerajaan Malaysia.
Bukan itu sahaja, FAM turut mendedahkan bahawa badan induk itu juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain dalam usaha memperkuatkan skuad kebangsaan.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan lapan pemain warisan bakal menyarung jersi pasukan kebangsaan dan sekiranya semua proses berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, tidak mustahil peminat akan menyaksikan skuad Harimau Malaya yang lebih garang bermula aksi menentang Nepal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.