KUALA LUMPUR: “Saya tak faham kenapa tak boleh buka akaun?” Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang tampak keliru dengan sembilan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang masih enggan membuka akaun bank khas bagi memudahkan pihaknya menyalurkan dana kepada mereka.
Sistem baharu itu buat masa ini diguna pakai untuk 19 PSK dengan 10 daripadanya sudah membuka akaun khas berkenaan yang dilihat memudahkan lagi proses penyaluran dana tanpa memerlukan persatuan menggunakan wang mereka terlebih dahulu.
Hannah berkata, dengan proses baharu ini PSK hanya perlu membuka akaun khas dan pihaknya akan terus menyalurkan wang pendahuluan seperti diminta.
Begitupun persatuan kemudian harus mengemukakan laporan penggunaan dana berkenaan sebelum ia diaudit oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Namun daripada 19 PSK di fasa awal ini, sembilan daripadanya masih belum membuka akaun khas berkenaan dan ia membuatkan Hannah tidak memahami akan tindakan persatuan biarpun sistem baharu ini lebih memudahkan mereka.
“Kalau 10 persatuan boleh buka akaun, saya tak tahu kenapa sembilan tak boleh. Ini kerana tugas persatuan adalah untuk membantu atlet. Sekarang kerajaan nak bagi duit untuk bantu atlet.
“Takkan persatuan… tanggungjawab asas untuk buka akaun tak boleh buat? Pembaharuan ini untuk memudahkan mereka, kita nak senangkan mereka, bukan susahkan mereka.
“Apa maksud pembaharuan? Kita nak lebih ke hadapan. Kita nak lebih senang, kalau tak, saya akan dengar aduan yang sama ‘kenapa bayar lambat’… apabila anda bagi resit, saya bayar dan itu melambatkan.
“Itu sebab kita nak jalankan kerja yang bagus dan senangkan semua orang. Saya tak faham kenapa tak boleh buka akaun, ia sangat asas,” kata Hannah kepada media selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Antara Kelab 2024, di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Sebelum ini, KBS memperkenalkan semula kaedah ’empowerment’ kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus peruntukan kewangan yang diterima mereka.
Program berkenaan bakal menyaksikan peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan sekali bagi perbelanjaan merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan prestasi, program pembangunan dan perkhidmatan sokongan.
Fasa pertama program itu membabitkan 19 PSK dan 23 jenis sukan bagi menyokong program Podium dan pelapis kebangsaan sepanjang tahun 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.