KUALA LUMPUR: ”Saya nak menang sebenarnya, itu saja”.
Selepas pendedahan demi pendedahan mengenai isu gaji, akhirnya pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman tampil mengakui beliau menahan gaji pemain adalah kerana mahu pasukan berusaha memburu kemenangan dalam setiap aksi.
Artikel berkaitan : Gaji lambat punca pemain kelantan gaduh dengan isteri
Katanya, beliau sedia menyelesaikan baki tunggakan gaji membelenggu pasukan itu sejak beberapa bulan lalu.
Beliau turut menafikan dirinya sengaja lari daripada membayar gaji pemain pasukan itu termasuk menolak dakwaan yang pihaknya berhutang tunggakan gaji selama dua bulan.
“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar, memang ada lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama, tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar dua bulan gaji tertunggak.
“Tapi ini bila kekalahan berterusan 10 kali. Saya kata nak gaji penuh April bagilah saya kemenangan. Main betul-betul sungguh. Saya bukan tolak gaji, saya tahan,” katanya yang mempertahankan dirinya, lapor Harian Metro.
Menerusi pendedahan Arena Metro sejak Ahad lalu, pemain Kelantan didakwa hidup dalam tekanan apabila dihimpit dengan komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.
Situasi itu nyata menekan pemain skuad The Red Warriors (TRW) pada setiap hujung bulan yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah ada di antara mereka kehilangan kereta selepas ditarik oleh pihak bank.
Arena Metro mendapatkan penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar yang berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan (advance).
Semalam, Farhan mewakili 19 pemain Kelantan tampil membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menuntut keadilan.
Menurut Norizam yang turut dikenali sebagai Zamsaham, pemain TRW diseru mencari kemenangan pada aksi Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mohammad IV pada Jumaat ini.
“Saya nak cari duit susah. Biarlah rasa berbaloi dengan kemenangan. Kalau tak menang, seri pun jadilah. Takdir ya takdir, tapi kenalah usaha lebih.
“Untuk ‘match’ minggu ini, berikan yang terbaik dan kemenangan. Kalau tak menang usahalah sehabis baik kepada seri. Kalau kalah, biarlah kalah bermaruah.
“Saya telah bayar semua gaji, takda tunggakan dan saya janji baki gaji yang ditahan 50 peratus semua akan dibayar. Mainlah sehabis baik. Saya nak menang sebenarnya, itu saja,” katanya.