comscore
Tumpuan :
Sukan

Saya sudah meneliti rakaman video, ini ketentuan daripada Allah – Presiden Pesaka 

KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin meminta semua pihak tidak menyalahkan pesilat yang bertarung dengan Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.

Tegas Megat berdasarkan penelitian dan video yang dilihat kematian Wan Muhammad Haikal bukan berpunca daripada sepakan lawan.

Katanya, selepas pihak teknikal Pesaka meneliti rakaman video dan keterangan wasit dan juri yang mengadili pertandingan itu, apa yang dilaporkan oleh media sebelum ini adalah tidak tepat.

“Saya sudah meneliti rakaman video dan apa yang dilaporkan sebelum ini iaitu punca kematian Allahyarham kerana sepak di kepala adalah tak tepat.

“Kita boleh lihat dengan jelas dari rakaman itu pesilat lawan juga dalam keletihan dan Allahyarham dalam proses buat sepakan gunting.

“Ini ketentuan dari Allah dan meminta tiada sesiapa menyalahkan mana-mana pihak terutama pesilat yang bertanding,” katanya.

Dalam pada itu Megat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan Pesaka akan memberi bantuan kepada keluarga bagi urusan jenazah untuk di bawa balik ke Terengganu.

Terdahulu Wan Muhammad Haikal dilaporkan rebah ketika menyertai pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban.

Pesilat itu disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini