comscore
Tumpuan :
Sukan

“Saya minta maaf” – Nafuzi Zain

Oleh Syakirah Zulkifly

Kedah Darul Aman FC pastinya terkesan dengan insiden dua layangan kad merah kepada kapten pasukan, Manuel Ott pada minit ke-60 dan ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain di minit ke-70 dalam aksi berdepan PDRM FC, Sabtu lalu.

Justeru, sememangnya KDA FC di atas kertas, turun dengan kelebihan selaku tuan rumah serta sebagai pasukan yang berada di kedudukan lebih baik berbanding PDRM FC yang turun dengan status ‘underdog’.

Oleh itu juga, sokongan dari 12,792 penonton yang hadir ke Stadium Darul Aman sudah pasti datang dengan harapan besar, mahu melihat skuad bimbingan Nafuzi menambah tiga mata selepas mengumpul enam mata dalam dua perlawanan sebelum ini.

Misi KDA FC disekat oleh pasukan pelawat, apabila insiden layangan dua kad merah kepada Ott dan Nafuzi, jelas menjatuhkan moral dan semangat barisan pemain.

PDRM FC meraih jaringan pada minit ke-74, ketika KDA FC beraksi dengan hanya 10 pemain selain ketiadaan kelibat watak penting, ketua jurulatih di tepi padang, menyaksikan skuad sang kenari dihukum dengan kekalahan mengejut dengan keputusan 1-0.

Kegagalan merealisaikan harapan penyokong, Nafuzi bagaimanapun memohon maaf kepada penyokong KDA FC selain kekalahan ini akan menjadi kesedaran kepada mereka untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Saya minta maaf atas kekecewaan tidak mendapat tiga mata, apatah lagi dengan kehadiran penyokong begitu ramai hadir untuk memberi sokongan kepada kami. Pasti semua mengharapkan tiga mata tapi kita tewas. Ia adalah satu keputusan yang mengejutkan dan sepatutnya kita boleh menang, tapi kita tewas di tempat sendiri. Dan saya harap, ini menjadi ‘wake up call’ untuk pemain-pemain serta seluruh pasukan untuk bangkit.”

Ia merupakan kemenangan pertama PDRM FC, musim ini, tiga mata yang diraih meletakkan pasukan sang saka biru berkenaan berada di tangga ke-6 liga dengan empat mata, smeentara KDA FC pula berada di kedudukan ke-4 liga dengan kutipan enam mata.

Selepas ini, KDA FC akan menerima kunjungan Penang FC pada Rabu, manakala PDRM FC bertandang ke pantai timur, untuk aksi berdepan Terengganu pada Sabtu.

Loading...
Terkini